Minyak: Lebih ramai jadi miskin |
Jun 15, 08 5:38pm |
Kenaikan mendadak harga minyak sejak 5 Jun akan menjejaskan sasaran kerajaan untuk menghapuskan sepenuhnya kemiskinan tegar menjelang 2010, kata beberapa penganalisis ekonomi. Mereka yakin kenaikan harga petrol sebanyak 40 peratus dan diesel pula lebih 60 peratus pasti memberi kesan negatif terhadap rancangan itu walau menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Amirsham A. Aziz pada April lalu berkata beliau yakin kerajaan akan berjaya mencapai sasarannya menghapuskan kemiskinan. Sesetengah ahli ekonomi kurang yakin dengan memberi alasan bahawa, berdasarkan kuasa membeli yang ada kini, lebih banyak rakyat sebenarnya boleh dianggap tergolong dalam kelompok "miskin". Ahli ekonomi kanan Bank Islam Malaysia, Azrul Azwar Ahmad Tajudin berkata andaian ini dibuat berdasarkan kuasa membeli dalam kalangan rakyat yang kini menurun dengan ketara berikutan pelaksanaan langkah penyusunan semula subsidi bahan api. "Seperti sebelum ini, kenaikan harga bahan bakar akan menyebabkan harga semua benda lain turut meningkat, daripada makanan, hinggalah kepada barang keperluan, termasuk perkhidmatan. "Bagi golongan miskin, kenaikan harga bahan bakar baru-baru ini memberi pukulan hebat terhadap kehidupan mereka. Sejak setahun lepas, mereka terpaksa bergelut untuk hidup akibat kenaikan kos makanan. "Kini, mereka menerima satu lagi pukulan apabila harga bahan bakar melonjak, sedangkan pendapatan mereka tidak bertambah," katanya, lapor Bernama. Sambil mengkategorikan isi rumah yang berpendapatan kurang RM1,500 sebulan sebagai keluarga miskin, Azrul Azwar berkata sebelum ini, kumpulan berkenaan membelanjakan 40 hingga 50 peratus daripada pendapatan mereka untuk membeli makanan dan apabila harga bahan bakar meningkat sekarang, mereka terpaksa mengikat perut bagi memenuhui keperluan lain. "Saya rasa pendapatan yang dikategorikan sebagai garis kemiskinan sekarang tidak relevan dengan kos sara hidup yang meningkat hari demi hari. Bagi saya, ia sepatutnya jauh lebih tingi, mungkin sekitar RM1,500 sebulan," beliau dipetik sebagai berkata. Menurut pengiraan 2005, garis kemiskinan bagi seluruh negara ialah pendapatan bulanan sebanyak RM691, manakala bagi Semenanjung jumlahnya RM661, Sabah (RM888) dan Sarawak (RM765). Pengiraan ini bagi keluarga yang mempunyai lima anggota. Bagi meringankan beban golongan ini, Azrul Azwar mencadangkan agar kerajaan memperuntukkan sebahagian daripada RM2 bilion yang diperoleh melalui langkah berjimat-cermat yang diumumnya baru-baru ini, untuk diagihkan kepada golongan terbabit. "Bukan bantuan dalam bentuk wang. Sebaliknya kerajaan perlu mengenal pasti siapakah yang tergolong dalam kumpulan ini dan membantu mereka dalam bentuk lain," katanya. Penolong naib presiden jualan institusi, Alliance Investment Bank, Shahrul Kamal Ramli sependapat dengan Azrul Anwar bahawa semakin banyak rakyat Malaysia kini tergolong sebagai miskin berikutan kenaikan harga bahan bakar. Shahrul Kamal berkata rakyat negara ini sepatutnya diberi peluang berkongsi kekayaan yang dinikmati oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Beliau berkata seperti pemegang saham dalam syarikat senaraian awam, rakyat negara ini juga sepatutnya dibayar dividen berdasarkan keuntungan yang diraih oleh syarikat itu. "Maksud saya ialah GLC yang kebanyakannya dimiliki secara penuh atau sebahagiannya oleh kerajaan seperti Petronas, TNB, patut memberi bonus tunai kepada rakyat. "Tahukah anda bahawa di Singapura, kerajaan membayar bonus kepada rakyatnya? Tahun lepas, setiap daripada mereka menerima sekitar S$700 atau RM1,800," katanya, lapor agensi berita itu lagi. Shahrul Kamal berkata walaupun kenaikan harga setiap liter petrol sebanyak 78 sen dan diesel sebanyak RM1 menjejaskan semua orang, tetapi golongan miskinlah yang paling teruk menerima akibatnya. "Mari kita lihat begini... seorang ada RM1 dan seorang lagi RM100. Tambahan perbelanjaan sebanyak 20 sen bagi orang yang ada RM100 sudah tentu tidak seberapa kesannya, berbanding orang yang hanya ada RM1," kata beliau. Beliau menambah, wang rebet yang diberi secara tunai sebagai ganti bagi subsidi tidak memberi manfaat kepada semua orang yang memerlukan bantuan kerana hanya mereka yang memiliki kenderaan layak menerimanya. "Bagaimana dengan mereka yang tidak memiliki kenderaan dan bergantung sepenuhnya pada pengangkutan awam? Mereka tidak layak menerima rebet itu, sedangkan kenaikan harga bahan bakar memberi kesan yang pelbagai dan kumpulan ini juga menerima akibatnya kerana harga semua barang akan turut meningkat," katanya. Shahrul Kamal juga mempertikaikan keberkesanan sesetengah langkah yang dilaksanakan kerajaan seperti kad fleet, yang pada pandangan beliau, boleh disalahgunakan. "Pada masa ini, kerajaan belum menjelaskan formula yang digunakannya dalam mengira peratusan yang diberi oleh Petronas daripada keuntungannya. Mereka hanya beritahu kita jumlahnya. "Dalam hal ini, saya mencadangkan, mungkin kerajaan boleh menimbang menggunakan satu kuantum berdasarkan harga pasaran. "Contohnya, kalau harganya AS$40 setong, mungkin Petronas patut bayar 40 peratus dan jika lebih AS$80, mereka bayar 75 peratus. Saya yakin, jika ini dilakukan seperti yang sewajarnya, rakyat masih boleh menikmati harga bahan bakar yang tidak membebankan mereka," katanya. |
family
CERITA MINYAK DARI MALAYSIA KINI
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
PENAFIAN
Penulisan dari Penulis Blog ini adalah lontaran pendapat/pandangan peribadi dan tidak sama sekali mewakili mana-mana individu, sama ada yang masih hidup atau pun sudah meninggal dunia. Sebarang penulisan yang bersifat serupa dengan penulisan yang lain adalah kebetulan.
Terima kasih
No comments:
Post a Comment